Tips Mudah Menghafal

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على محمد وآل محمد
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه


Berikut adalah tip-tip mudah menghafal daripada kitab al-Jami'  li akhlaq al-Rawi wa adab al-sami', karya Al-Khathib Al-Baghdadi.
  1. Jauhi Maksiat
    Hafalan yang kuat bermula dari minda yang jernih dan hati yang bersih. Maksiat dan dosa akan mengotorkan hati. Oleh itu, perkara utama yang mesti dilakukan oleh seorang pelajar adalah menjauhkan perbuatan maksiat, sekali gus memperbanyakkan ketaatan. Seseorang bertanya kepada Imam Malik, "Amalan apa yang dapat menguatkan hafalan?" Beliau menjawab, "Jika ada amalan yang dapat menguatkan hafalan, maka amalan itu adalah meninggalkan maksiat."

  2. Sedikit Makan & Tidur
    Imam Asy-Syafi'i berkata, "Sesiapa yang kenyang dengan makanan halal, ia akan banyak minum, lalu banyak tidur, lalu banyak menyesal kerana telah melewatkan banyak keuntungan."

  3. Cintai Pelajaran & Baca Berulang-ulang
    Siapa yang menyukai satu pelajaran, ia akan selalu membacanya. Manakala siapa yang selalu membacanya secara berulang-ulang, maka ia akan mudah menghafalnya. Imam Al-Bukhari pernah diminta tip kuat hafalan. Beliau menjawab, "Aku tidak mengetahui sesuatu yang lebih bermanfaat untuk hafalan selain kecintaan kepada pelajaran dan selalu memandangnya." Berkata Abu Ishaq asy-Syirazi, "Aku selalu membaca pelajaranku 1000 kali agar benar-benar menghafalnya."

  4. Masa Yang Tepat Untuk Menghafal
    Malam hari dan sebelum Subuh adalah waktu yang sangat tepat untuk menghafal pelajaran. Pada waktu ini, keheningan memenuhi dunia dan hati bersiap sedia menerima pancaran ilmu. Berkata Ismail bin Abi Uwais, "Jika engkau hendak menghafal sesuatu, maka tidurlah lalu bangunlah sebelum Subuh. Buka lampu, lalu bacalah. Sesungguhnya engkau tidak akan lupa setelah itu, In Shaa Allah."

  5. Praktikkan Ilmu & Muzakarah Bersama Rakan
    Ilmu akan melekat di hati jika diamalkan dan dipraktikkan, Setiap kali mendapat kosa kata baharu, gunakan kosa kata tersebut dalam perbincangan. Setiap kali mendapat maklumat baharu, bincangkanlah bersama rakan-rakan. Dengan begitu, ilmu tersebut akan terus berkekalan di dalam hati. Ibrahim an-Nakha'i berkata, "Siapa yang ingin menghafal hadis, maka sampaikanlah hadis itu. Walaupun ia mesti menyampaikannya kepada orang yang enggan mendengarnya."
Semoga kita lebih mudah untuk menghafal sesuatu ilmu selepas ini. Aamin.

Dipetik dan diubah dari Ikon Syabab karya Umar Muhammad Noor

اللهم صل على محمد وآل محمد
(Allahumma salli 'ala Muhammad wa ali Muhammad)
سُبْحَانَ اللّهِ وَ بِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللّهِ الْعَظِيمِ
(SubhanAllahi wa biHamdihi, SubhanAllahil adzim)
سبحانك اللهم وبحمدك أشهد ان لا إله إلا أنت أستغفرك وآتوب إليك
(Subhanakallahumma wabihamdika asyhadu allaailaaha illa anta astaghfiruka wa atuubu ilaika)



Post a Comment

0 Comments