Hadis 19 : Tawakal kepada Allah SWT | Hadis 40 Fi Zilal An-Nawawiyah

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على محمد وآل محمد
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه



Daripada Abu al-'Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a. beliau berkata: "Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: “Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya)."(Riwayat Ahmad no. 2669, al-Tirmizi no. 2516 dan al-Hakim no. 6302) 

Dalam riwayat selain Imam al-Tirmizi disebutkan : “Jagalah Allah nescaya engkau mendapati-Nya di hadapanmu; kenalilah Allah pada waktu lapang nescaya Dia mengenalimu pada waktu kesusahan. Ketahuilah, bahawa apa yang luput daripadamu tidak bakal mengenaimu, dan apa yang mengenaimu tidak bakal luput daripadamu. Ketahuilah bahawa bersama kesabaran da kemenangan; bersama kesusahan ada jalan keluar; dan bersama kesulitan ada kemudahan.”

Pokok Perbincangan Hadis
  1. Jaga hak Allah SWT, Allah SWT akan jaga kamu. Menjaga hak Allah SWT ialah dengan melaksanakan segala suruhan, meninggalkan segala larangan, menjaga batas-batas dan hak-hak yang ditetapkan oleh Allah SWT. Contohnya:
    a. Solat (Surah Al-Baqarah ayat 238)
    b. Maruah (Surah Al-Ahzab ayat 35)

  2. Janji Allah SWT kepada Muslim yang menjaga hakNya dengan maghfirah dan pahala yang besar.
    a. Allah SWT akan menjaga kemaslahatan duniawi kita jika kita menjaga hakNya. Contoh kesihatan, anak, keluarga, harta dan lain-lain.
    b. Allah akan memelihara deen dan iman kita dari syubhat yang menyesatkan dan dari perkara-perkara haram.

  3. Pertolongan dan bantuan Allah SWT kepada orang yang bertaqwa
    a. Hendaklah sentiasa menjaga hak Allah SWT pada diri dan keluarganya supaya sentiasa menepati Quran dan Sunnah.
    b. Dalil bantuan Allah SWT bersama dengan orang yang bertaqwa ialah kisah Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS bersama Fir'aun (Surah An-Nahl ayat 128), Nabi SAW dan Abu Bakar RA di Gua Thur (Surah At-Taubah ayat 40) dan Surah Al-Mujadalah ayat 7.

  4. Meminta pertolongan hanya pada Allah SWT
    a. Memohon pertolongan dalam melakukan ketaatan dan meninggalkan maksiat adalah wajib ke atas orang Muslim (Surah Al-Fatihah ayat 5)
    b. Meminta hanya pada Allah SWT adalah dikira sebagai ibadah. Allah SWT me'label' orang yang tidak meminta dariNya sebagai takabbur (Surah Ghafir ayat 60)
    c. Berhajatnya seorang hamba hanya layak ditujukan kepada Allah SWT.
    d. Bersabar atas takdir dan tetapkan pendirian pada hari bertemu Allah SWT.

  5. Beriman kepada Qada' dan Qadar
    a. Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan taqdir ke atas semua makhluknya 50 ribu tahun sebelum diciptakan langit dan bumi" (HR Muslim)
    b. "Makhluk yang pertama diciptakan Allah SWT ialah Qalam. Kemudian dikatakan kepadanya: Tulislah. Maka ia tertulis sejak saat itu sehingga hari Kiamat"
    c. Tidak akan ditimpa seseorang hamba dari kebaikan atau keburukan kecuali apa yang telah ditakdirkan ke atasnya (Surah At-Taubah ayat 51)

  6. Mengingati Allah SWT ketika senang, Allah SWT akan mengingati kamu ketika susah
    a. Caranya dengan melaksanakan kewajipan dan meninggalkan larangan ketika senang, aman, sihat, kaya dan kuat.
    b. Memperbanyakkan ibadah nawafil (sunat) untuk mendekatkan diri kepadaNya.
    c. Allah SWT akan ingat kepada kita ketika bersangatan susah, kesempitan dan sakit.
    d. Nabi Muhammad SAW ketika di Gua Thur, Badar, Ahzab dan lain-lain situasi menunjukkan bukti dan qudwah dalam mengingati Allah SWT.
    e. Nabi Yunus AS ketika dalam perut ikan mengingati Allah SWT.

  7. Kemenangan bersama kesabaran (Surah Al-Baqarah ayat 249 & Surah Al-Anfal ayat 66)
    a. Allah SWT menjelaskan betapa fi'ah (group) yang kecil bilangannya dapat mengalahkan fi'ah yang besar jumlahnya dengan izin Allah SWT dan Allah SWT bersama dengan orang-orang yang sabar.
    b. Sabar ialah sifat yang hebat, seorang Muslim amat perlu kepada sabar untuk melaksanakan suruhan Allah SWT. Antaranya ialah keadaan:
    i)  Bala yang menimpa seorang Muslim.
    ii) Mehnah di jalan dakwah.
    iii) Untuk meninggalkan syahwat dan perkara yang haram.
    iv)  Menjaga ketaatan kepada Allah SWT.
    Semuanya berhajat kepada sabar, kerana sabar memerlukan mujahadah melawan kepayahan dan kebencian.

  8. Bersama Bala' (karb) itu ada jalan keluar
    a. Akibat dari musibah dan mehnah yang berterusan ke atas orang Muslim menyebabkan dunianya terasa sempit, murung dan sedih. Sekiranya dia muhasabah, sabar dan yakin apa yang menimpanya adalah ketentuan Qada' dan Qadar Allah SWT serta tidak putus asa dengan Allah SWT, nescaya akan datang jalan keluar (Surah Al-Baqarah ayat 214).
    b. Ketika saat-saat keperitan memuncak, Allah SWT akan menunjukkan jalan kepada manusia. Contoh peristiwa:
    i) Anak Nabi Adam AS (Qabil & Habil)
    ii) Nabi Nuh AS dengan bah besar
    iii) Nabi Ibrahim AS semasa dibakar dan saat menyembelih anaknya Ismail AS
    iv) Nabi Musa AS dikejar Firaun dan tenteranya

  9. Bersama kepayahan ada kesenangan (Surah Asy-Syarh). Kenapa Allah SWT jadikan bersama kesenangan itu kepayahan?
    a. Agar hambaNya bergantung harap hanya kepadaNya. Ikatan akan bertambah erat bila keperitan makin kuat dan mendesak.
    b. Seorang hamba akan bertawajjuh kepada Tuhannya dengan lurus dan ikhlas, kerana itulah satu-satunya jalan untuk menghilangkan kepayahan itu.
Sumber : Fi Zilal An-Nawawiyah karya Dr Kamarusalam Yusof >Dapatkan buku Fi Zilal An-Nawawiyah di Shopee: RM19 Sahaja<

اللهم صل على محمد وآل محمد
(Allahumma salli 'ala Muhammad wa ali Muhammad)
سُبْحَانَ اللّهِ وَ بِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللّهِ الْعَظِيمِ
(SubhanAllahi wa biHamdihi, SubhanAllahil adzim)
سبحانك اللهم وبحمدك أشهد ان لا إله إلا أنت أستغفرك وآتوب إليك
(Subhanakallahumma wabihamdika asyhadu allaailaaha illa anta astaghfiruka wa atuubu ilaika)



Post a Comment

0 Comments