Keikhlasan yang Membawa Berkat (Kisah Halimatus Saadiah)

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على محمد وآل محمد
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه


KETIKA Halimatus Saadiah menerima Muhammad sebagai anak susuannya, beliau menyedari Siti Aminah hanyalah seorang janda yang tidak memiliki harta kekayaan walaupun datang dari keluarga terhormat.

Tiba-tiba dia terdengar suatu bisikan. Suara itu memintanya supaya tidak mementingkan upah sebagai balasan menyusu seorang anak susuan. Biasanya kaum wanita lain akan menolak untuk menyusui anak-anak yang tidak mempunyai ayah.

Setelah suaminya, Abu Qabsyah setuju, dia terus bertemu dengan Abdul Mutalib, datuk kepada bayi yang akan disusuinya.

Abdul Mutalib sungguh gembira apabila Halimah sanggup menyusui cucunya. Dia mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Halimah. Dia menunjukkan kepada Halimah bayi yang akan disusuinya nanti.

Halimah amat menyenangi anak itu. Wajahnya sungguh comel dan bersih. Anak itu diselimuti oleh kain bulu berwarna putih dan beralaskan kain sutera hijau.

Entah mengapa hati Halimah sungguh berdebar. Tangannya menggigil ketika menyentuh bayi itu. Anak itu tersenyum kepadanya.

Siti Aminah mengalirkan air mata ketika mahu menyerahkan anaknya kepada Halimah. Dia akan berpisah sementara waktu dengan anak tunggal yang sangat disayanginya itu. Anak yang telah kematian ayah.

Namun begitulah adat bangsawan orang Arab ketika itu yang akan menyerahkan anak mereka untuk disusui oleh wanita desa. Semoga dengan itu, anak yang membesar akan lebih sihat, berfikiran luas dan terpelihara dari persekitaran kota yang kurang baik.

Walaupun Halimah sangat gembira menerima bayi itu, namun masih ada yang merisaukan dirinya. Dia menyedari dirinya yang kurus, tidak mungkin dapat menyediakan air susu yang banyak untuk diberikan kepada Muhammad.

Sesuatu yang tidak disangka telah berlaku. Setelah tiba di dusunnya, dia merasakan dadanya membengkak dan penuh dengan air susu Dia segera menyusui Muhammad dengan gembira.

Setelah anak itu kenyang, Halimah menyusui anaknya sendiri iaitu Abdullah. Anaknya iuga dapat minum dengan puas. Sedangkan selama ini walaupun Abdullah telah menyusu, dia akan menangis lagi kerana kelaparan.

Malah yang lebih menakjubkan, unta-unta peliharaan Halimah dan suaminya menjadi gemuk dan sihat. Unta-unta yang sebelum ini kurus-kering dapat diperah air susunya oleh Abu Qabsyah. Susu unta yang begitu banyak dapat diminum oleh mereka sekeluarga.

Keikhlasan Halimah telah mendatangkan tuah kepadanya Keikhlasan kerana sanggup menjadi ibu susuan kepada anak yatim.

Halimah tidak mengharapkan upah sebagaimana yang diinginkan oleh wanita-wanita lain ketika itu. Namun dia telah diberi upah dengan berlipat ganda oleh Allah Yang Maha Kuasa.

[87 Kisah-kisah Teladan - Abu Mu'az]

اللهم صل على محمد وآل محمد
(Allahumma salli 'ala Muhammad wa ali Muhammad)
سُبْحَانَ اللّهِ وَ بِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللّهِ الْعَظِيمِ
(SubhanAllahi wa biHamdihi, SubhanAllahil adzim)
سبحانك اللهم وبحمدك أشهد ان لا إله إلا أنت أستغفرك وآتوب إليك
(Subhanakallahumma wabihamdika asyhadu allaailaaha illa anta astaghfiruka wa atuubu ilaika)

  

Post a Comment

0 Comments