Hadis 10 : Tips Doa Diterima | Hadis 40 Fi Zilal An-Nawawiyah

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على محمد وآل محمد
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه



Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesungguhnya Allah Ta'ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta'ala berfirman: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh). (Surah al-Mukminun 23:51) Dan Allah Ta'ala berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu).(Surah al-Baqarah 2:172) Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?"          

(Riwayat Ahmad no. 8348, Muslim no. 1015 dan al-Tirmizi no. 2922)

Pokok Perbincangan Hadis
  1. Sucinya Allah dari kekurangan, keaiban, tidak perlu kepada rakan dan anak, tidak zalim dan tidak tidur.

  2. Diterima atau tidak sesuatu amalan itu adalah bergantung kepada pemakanan dan pemakaian orang yang beramal itu sama ada halal atau haram.

  3. Hadis ini menceritakan sebab kepada diterima atau tidaknya sesuatu doa atau ibadah. Antara sebab diperkenankan doa serta beberapa adabnya di dalam hadis ini :

    a. Perjalanan yang jauh. Di dalam hadis yang lain, disebutkan tiga jenis doa yang diperkenankan oleh Allah SWT :
    i. Doa orang yang dizalimi
    ii. Orang dalam musafir
    iii. Doa bapa terhadap anaknya

    b. Merendah diri dalam pakaian dan keadaan dengan cara lekeh dan berdebu sebagaimana disunatkan dalam solat Istisqa'.

    c. Mengangkat tangan ke langit. Terdapat banyak hadis Nabi SAW berkenaan perkara ini. Tangan perlu dihadapkan tapak ke langit dan belakang tapak ke kiblat.

    d. Bersungguh-sungguh dalam meminta dengan cara mengulang-ulang nama Allah (3 kali) sebagai tanda sangat berhajat kepada permintaan tersebut.

    e. Menjaga makanan, minuman dan pakaian.
Sumber : Fi Zilal An-Nawawiyah karya Dr Kamarusalam Yusof

اللهم صل على محمد وآل محمد
(Allahumma salli 'ala Muhammad wa ali Muhammad)
سُبْحَانَ اللّهِ وَ بِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللّهِ الْعَظِيمِ
(SubhanAllahi wa biHamdihi, SubhanAllahil adzim)
سبحانك اللهم وبحمدك أشهد ان لا إله إلا أنت أستغفرك وآتوب إليك
(Subhanakallahumma wabihamdika asyhadu allaailaaha illa anta astaghfiruka wa atuubu ilaika)

Post a Comment

0 Comments