Duit & Harta

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على محمد وآل محمد
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه


Sering keliru dengan dunia, adakah benar kebahagiaan itu boleh dibeli dengan wang ringgit. Adakah benar semua perkara di dunia ini memerlukan wang ringgit. Adakah benar aku diciptakan hanya untuk mencari duit & membelanjakannya?

Kalau benar begitu, mengapa Nabi SAW tidak menerima tawaran harta & pangkat yang lumayan ketika ditawarkan oleh Masyarakat Quraisy suatu ketika dahulu agar Baginda berhenti berdakwah serta merta. Kalau benarlah duit segala-galanya, mengapa baginda menolak tawaran tersebut demi meneruskan perjalanan yang penuh onak & duri untuk menyampaikan risalah Islam ini pada ketika itu?

Dan kalau benar dengan harta ia mampu memberi kebahagiaan yang hakiki mengapa Nabi SAW memberikan harta rampasan Perang Hunain dengan quota yang lebih besar kepada penduduk Makkah & Arab Badwi berbanding kepada parajurit & barisan tentera Ansar yang datang penat² dari Madinah bersama baginda SAW sehingga terkecilnya hati orang² Ansar. Namun, mengapa orang Ansar mampu untuk tenang & terima jawapan Nabi SAW setelah baginda dipersoalkan oleh mereka tentang pembahagian harta ghanimah tersebut? (rujuk kisah Ansar Menangis selepas Perang Hunain)

Nah, harta & duit bukanlah segalanya. Kalau benar nilai harta & duit tu sangat mahal, sudah tentu Rasulullah SAW akan terima tawaran kaum Musyrikin Makkah. Jika benar nilai harta & duit itu sangat mahal, sudah tentu Saidina Uthman RA tidak akan sanggup untuk membelanjakan hartanya untuk membeli perigi yang memberi manfaat kepada hampir seluruh penduduk Madinah yang ketika itu sedang menghadapi bencana kemarau.

Jika benar harta & duit itu adalah segala-galanya, tidak mungkin Saidina Abdurrahman Bin Auf RA sanggup nak belanjakan hartanya ke dalam peperangan & kepentingan masyarakat Islam pada ketika itu dan juga beliau pula antara yang mengambil peranan menjaga kebajikan ummahatul mukminun setelah kewafatan Rasulullah SAW yang menjadikan jumlahnya yang terlalu tidak masuk akal & banyak giler² jika kita menghitungnya pada hari ini.

Keyakinan luar biasa apakah yang terdapat pada Rasulullah SAW & para sahabat sehingga menjadi seperti ini & ini jugalah antara yang menyebabkan musuh Islam takut kalau² orang Islam hari ini kembali mempunyai 'watak & perwatakan' para sahabat ini. Kerana mereka akan rugi besar!

Again, keyakinan apakah itu?> “Dunia adalah sementara. Akhirat yang kekal abadi. Redha Allah tujuan yang sebenarnya!”

Selalu dengar, tapi tak amal bila diuji sedikit. Tapi tak amal bila disuruh bayar zakat & bersedekah. Hatta bersedekah/solat dhuha sekalipun bertopengkan niat agar cepat kaya dan bukan kerana untuk meraih redha & keberkatan dariNya.

Mengangkat tangan ke langit konon berdoa & merintih kerana kesesakan kewangan tapi lupa nikmat Allah selama ini, lupa nak bersyukur selama ini, lupa nak bersihkan harta dari segala perkara syubhah & haram, dan terus menerus membiarkan harta terus bercampur baur dengan yang haram. Munafik? Wallahualam.

Redha Allah bukan lagi menjadi tujuan utama dalam mengejar kekayaan & dalam mengejar keduniaan. Redha nafsu menjadi tujuan utama, lebih redha melihat baki akaun melambun-lambun, lebih besar, lebih tenang. Baki akaun sikit, merintih, murung, stress, depress tak tentu hala seolah dunia sudah kiamat.

Bukan lagi seperti para sahabat RA, mereka meletakkan 'dunia' di tangan mereka kerana itu mereka sanggup melepaskannya. Namun, kebanyakkan kita sudah pun meletakkannya di dalam hati sampai boleh nak gantung diri kalau tak sehala dengan apa yang kita inginkan atau yang kita harapkan.

Kerana kita sudah tidak yakin bahawa Allah itu Maha Pemberi Rezeki. Kerana kita sudah tidak meletakkan akhirat di dalam hati kita.

Mana mungkin kekufuran & keimanan berada di tempat yang sama, kalau ada pun (campur aduk), pasti serabut & bencana. Begitu juga dengan hati, jika benar akhirat tujuan utama, sudah pasti kita menggunakan dunia sepenuhnya sebagai tujuan menghadapi akhirat & bukan seolah-olah dunialah segala-galanya. Perbaikilah niat keranaNya & bersihkanlah harta agar selamat dunia akhirat.

“Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada bagi-nya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab siksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).”
(Surah Al-An’aam [6]: ayat.70). Wallahualam. 

اللهم صل على محمد وآل محمد
(Allahumma salli 'ala Muhammad wa ali Muhammad)
سُبْحَانَ اللّهِ وَ بِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللّهِ الْعَظِيمِ
(SubhanAllahi wa biHamdihi, SubhanAllahil adzim)
سبحانك اللهم وبحمدك أشهد ان لا إله إلا أنت أستغفرك وآتوب إليك
(Subhanakallahumma wabihamdika asyhadu allaailaaha illa anta astaghfiruka wa atuubu ilaika)

  

Post a Comment

0 Comments