3 Anasir Pengganggu Jiwa Remaja Zaman Ini

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على محمد وآل محمد
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه


Seorang pemuda Islam memiliki tugas yang besar yang mesti dilaksanakan. Matlamatnya sepatutnya menjadi pemuda yang kuat imannya, luas ilmunya dan indah akhlaknya. Namun, remaja atau pemuda pada zaman ini sering dilalaikan dengan tiga perkara dibawah yang menyebabkan mereka jauh dan lari dari tugas sebenar seorang Muslim sekaligus mungkin sering terlupa tentang ayat quran dan hadis yang menceritakan tentang fadhilat menjadi pemuda yang beriman.

Apakah tiga anasir 'common' tersebut? Ayuh baca:

  1. Kawan / Rakan
    Anasir yang paling mudah memalingkan kita ialah golongan yang bergelar "kawan-kawan". Jika tidak terkawal, percampuran dengan kawan-kawan akan memalingkan kita daripada matlamat yang hendak dicapai. Oleh itu, Islam mengingatkan kita untuk selalu berhati-hati memilih kawan.

    "Wahai Mughirah, perhatikanlah setiap orang yang menjadi kawanmu. Setiap kawan yang tidak berguna dalam peningkatan (ilmu) agamamu, maka tinggalkanlah ia. Sebab hakikatnya dia adalah musuhmu" (Imam Malik bin Dinar)

    Ibn Asakir menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Jauhilah kawan yang buruk (akhlak dan perangainya), kamu akan dikenali sepertinya." Sabda Baginda lagi : "Seseorang itu berada atas cara hidup kawannya, maka perhatikanlah tiap seorang daripada kamu, siapakah yang didampinginya." (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud)

  2. Cinta Remaja
    Anasir berikutnya ialah cinta palsu. Ramai pemuda cerdas yang terbantut pelajarannya, malah ibadahnya akibat terbayang-bayang cinta palsu. Fikirannya tertutup oleh pelbagai khayalan indah lalu melalaikannya daripada kewajipan sebagai seorang pelajar dan pemuda Islam. Semua ini tidak lain hanyalah penipuan syaitan belaka.

    Berapa ramaikah anak muda pada hari ini yang mula jatuh ke lembah pengzinaan dengan hanya permulaannya mengikut trend terkini iaitu 'couple'. Pada awalnya, ia mungkin sebuah idea yang tercetus atau terinspirasi asbab dari tontonan drama atau filem yang sering menyajikan betapa indahnya ber'couple' yang sudah sah-sah haram disisi Islam. Inspirasi yang mulanya dari filem/drama tersebut akhirnya bertukar kepada realiti dan praktikal dan akhirnya lama-kelamaan ia mula menjerumuskan diri ke lembah kemaksiatan. Nauzubillah.

  3. Kemudahan Hidup
    Selain itu, anasir yang sering memalingkan langkah kita terdiri daripada pelbagai kemudahan hidup yang kita miliki. Antaranya TV, Internet, Instagram, games dan pelbagai lagi kemudahan hiburan.

    Semua perkara ini jika digunakan dan dimanfaatkan pada tahap yang sepatutnya akan menjadi kebaikan yang memanfaatkan diri. Namun, seringkali anak muda pada hari ini sering lalai dengan perkara ini. Malah ada pula yang ketagihan sehingga mula merosakkan ibadah dan tujuan hidupnya. Masanya dihabiskan begitu sahaja.

Barangkali mungkin selama ini kita tidak sedar dengan tiga anasir tersebut yang sedang berlaku. Diharapkan posting ini mampu membangkitkan jiwa penulis dan pembaca untuk sama-sama sentiasa berusaha menjadi pemuda Muslim atau rijal yang sentiasa berusaha menjadi hambaNya yang bertakwa dan sentiasa berusaha menjadi yang terbaik dalam apa jua bidang yang sedang kita ceburi dengan niat  agar dapat membawa dan menegakkan semula syiar Islam dimuka bumi ini. Aamin.

Dipetik dan diubah dari Ikon Syabab karya Umar Muhammad Noor

اللهم صل على محمد وآل محمد
(Allahumma salli 'ala Muhammad wa ali Muhammad)
سُبْحَانَ اللّهِ وَ بِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللّهِ الْعَظِيمِ
(SubhanAllahi wa biHamdihi, SubhanAllahil adzim)
سبحانك اللهم وبحمدك أشهد ان لا إله إلا أنت أستغفرك وآتوب إليك
(Subhanakallahumma wabihamdika asyhadu allaailaaha illa anta astaghfiruka wa atuubu ilaika)

  

Post a Comment

0 Comments