Hadis 4 : Manusia & Amal | Hadis 40 Fi Zilal An-Nawawiyah

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على محمد وآل محمد
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه



Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai): Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.

(Riwayat al-Bukhari no. 3208 dan Muslim no. 2643(1))

Pokok Perbincangan Hadis
  1. Peringkat pertumbuhan janin dalam rahim.
    - Ayat yang berkaitan dengannya > Al-Hajj 22:5 & Al-Mukminun 23:12-14.

  2. Hikmah di sebalik kejadian berperingkat.

    a. Sebagai pengajaran kepada manusia bahawa perlukan peringkat-peringkat, perlu berhati-hati terutama dalam perkara yang besar dan serius. Juga mengajar bagaimana Allah memelihara manusia dengan penuh dukungan di dalam rahim ibunya dalam masa yang amat lama.
    b. Untuk mencapai tahap kesempurnaan maknawi, mestilah melalui cara (tadarruj) beransur-ansur, tidak gopoh atau geolojoh.

  3. Ditiup ruh
    - Sepakat ulamak menyatakan bahawa ruh ditiup pada janin selepas 120 hari disenyawakan.

  4. Hadis ini menyatakan hikmah bagi perempuan yang kematian suami dan ditetapkan baginya 'idah selama empat bulan sepuluh hari. Ini bagi menjamin kesucian rahimnya (tak mengandung dari suami yang terdahulu).

  5. Menggugurkan janin

    a. Sepakat ulamak menyatakan hukumnya haram jika dilakukan setelah ditiupkan ruh (selepas 120 hari). Ianya dikira sebagai satu jenayah dan wajib membayar diat (denda) bila digugurkan, sekalipun janin itu mati selepas gugur.
    b. Sebelum ditiupkan ruh:
    i. Juga haram pada kebanyakan pendapat.
    ii. Ada yang berpendapat ianya harus tapi pendapat ini adalah qaul yang dhaif.

  6. Keluasan ilmu Allah. Dia Maha Mengetahui keadaan makhluk sebelum dijadikan sama ada Iman dan taat atau Kufur dan maksiat, bahagia atau derita, semua dalam pengetahuannya.

  7. Ilmu Allah tidak menghalang manusia dari berikhtiar (Al-Syams: 7-10)
Sumber : Fi Zilal An-Nawawiyah karya Dr Kamarusalam Yusof >Dapatkan buku Fi Zilal An-Nawawiyah di Shopee: RM19 Sahaja<

اللهم صل على محمد وآل محمد
(Allahumma salli 'ala Muhammad wa ali Muhammad)
سُبْحَانَ اللّهِ وَ بِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللّهِ الْعَظِيمِ
(SubhanAllahi wa biHamdihi, SubhanAllahil adzim)
سبحانك اللهم وبحمدك أشهد ان لا إله إلا أنت أستغفرك وآتوب إليك
(Subhanakallahumma wabihamdika asyhadu allaailaaha illa anta astaghfiruka wa atuubu ilaika)

Post a Comment

0 Comments