12 NOTA TARBIYAH

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على محمد وآل محمد
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه


12 NOTA TARBIYAH UNTUK G25

1) Kajilah lagi kisah-kisah Khulafa’ Ar-Rasyidin yang telah melaksanakan hukuman ke atas orang yang telah melakukan DOSA PERIBADI.

2) Ingatlah kisah masyhur Khalid Al-Walid r.a apabila beliau meminta pandangan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq tentang hukuman terhadap mereka yang melakukan hubungan sejenis (al-luthiyyah). Abu Bakar r.a telah mengarahkan untuk menjatuhkan hukuman bakar ke atas mereka. Begitu juga yang dilakukan Abdullah bin Zubair r.a dan Hisyam bin Abdul Malik. (At-Turuq Al-Hukmiyyah, m/s 21)

3) Bacalah juga kisah Umar Al-Khattab yang telah membakar kedai arak dan juga telah membakar sebuah kampung yang terdapat penjualan arak di dalamnya sepertimana yang di ceritakan juga oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah. (At-Turuq Al-Hukmiyyah, m/s 22)

4) Fikir-fikirkanlah kata-kata Khalifah Uthman ‘Affan r.a yang bermaksud “Apa yang ditegah melalui Pemimpin lebih banyak daripada apa yang ditegah oleh Al-Quran” di mana sesetengah manusia hanya dapat dicegah daripada membuat kemungkaran apabila ia takutkan tindakan pemimpin ke atasnya kerana Al-Quran tidak lagi terkesan baginya. (Lihat penjelasan Muhammad ibn Rusyd al-Qurtubi dalam kitab-Nya al-Bayan wa at-Tahsil wa as-Syarh wa at-Taujih wa at-Ta`lil fi al-Masa’il Mustakhraj, 18/494)

5) Satu kaedah fiqhiyyah menyebut “تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة” . (Tindak tanduk pemimpin ke atas rakyatnya tertakluk pada Maslahat). Islam memang mengiktiraf peranan negara & pemimpin Islam bagi menentukan Masalih Mursalah (kebaikan/maslahah yang tidak tertulis secara khusus dalam Al-Quran dan hadith Rasulullah saw). (Lihat: Al-Asybah wa al-Naza’ir li ibn Nujaym, m/s 123, Al-Asybah wa al-Naza’ir li as-Suyuti, m/s 121)

6) Ini bermakna, walaupun sesuatu hukuman bagi dosa itu tidak tertulis di dalam Al-Quran dan Hadith Rasulullah secara khusus, pemimpin Islam berhak melaksanakan hukuman (hukuman ta’zir) selepas mengambil kira kemaslahatan umum bagi sesebuah negara dan masyarakat.

7) Inilah yang dinamakan Siyasah Syar’iyyah (politik berlandaskan syara’), sepertimana yang dimaksudkan Ibnu ‘Aqil Al-Hanbali : “Siyasah adalah apa saja perbuatan yang mendekatkan manusia kepada kebaikan dan menjauhkannya dari kefasadan” dan selari dengan kata-kata As-Syafie bahawa : ”لا سياسة إلا ما وافق الشرع”(Tidaklah politik itu melainkan apa yang menepati Syara’). Beliau tidak menyatakan “ما نطق به الشرع” (apa yang disebut oleh syara’ sahaja), tapi politik adalah “ما وافق الشرع” (apa yang selari/menepati syara’).

8) Janganlah kita sempitkan pemahaman kita terhadap Politik Islam hingga menafikan ijtihad-ijtihad ulama’ silam dan masa kini dalam mengiktiraf peranan pemimpin Islam untuk memutuskan perkara terbaik untuk kemaslahatan Negara secara keseluruhan selagi mana perkara tersebut tiada nas Al-Quran dan hadith yang melarangnya.

9) Yang tidak dibolehkan dalam Islam hanyalah tajassus atau berlebihan dalam penyiasatan/pengintipan. Ia Bukan sama sekali bermaksud larangan untuk menjatuhkan hukuman terhadap orang yang melalukan dosa, tidak kira dosa peribadi atau segala apa jenis dosa kepada Allah swt yang kalian cadangkan untuk kaji semula atau dimansuhkan.

10) Maka di mana hilangnya hadith “من رأى منكم منكرا فليغيره بيده” (barang siapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya) daripada diri kalian? Fikirlah baik-baik mengapa Rasulullah dan Umat Islam terdahulu bersusah payah membina sebuah negara Islam disertai dengan undang-undang syariah yang merangkumi undang-undang jenayah? Apakah tidak wujud hukuman Ta’zir yang dibincang panjang oleh Fuqaha’ dalam banyak kitab turath?

10) Perlu juga dinyatakan di sini (untuk mengelak salah faham kalian terhadap Islam), bahawa dalam konteks perlaksanaan undang-undang, Islam tidak bergantung kepada undang-undang semata-mata, malah Islam bertindak lebih dari itu lagi. Ia berusaha membersihkan jiwa manusia agar mereka sanggup mematuhi undang-undang itu dengan dorongan hati yang murni yang beriman kepada Allah swt dan mengiktiraf kekuasaan Allah yang tertinggi di atas muka bumi ini. Bukan semata-mata kerana takut kepada kuasa pemerintah negara hakikatnya. Ini tidak syak lagi merupakan satu methodologi yang bijaksana untuk menegakkan undang-undang dalam masyarakat seperti mana yang dijelaskan oleh Syeikh Muhammad Qutb r.a dalam kitabnya “As-Syubhat Hawla Al-Islam”.


11) Maka, sudah tentu pembentukan peribadi muslim sewajibnya berjalan dengan lebih serius dan berterusan sehingga melahirkan sebuah masyarakat Islam yang mampu memikul tanggungjawab menegakkan agama Islam di Negara kita tercinta, Malaysia. Sifirnya mudah, apabila umat Islam kuat, tiada siapa yang berani mencabar Islam. Isu hari ini adalah umat melayu Islam di Malaysia sendiri sedang lemah dan berpecah belah. Kerana itulah pihak musuh berani mencabar kedudukan Islam di Negara ini dengan lebih berterus terang dan lantang, ‘dilicinkan’ lagi projek mereka dengan bantuan jurucakap-jurucakap tidak rasmi mereka berupa tokoh-tokoh agama dan liberal yang terperangkap dalam agenda halus liberalisme, sekularisme dan sewaktu dengannya.

12) Akhir kata, janganlah kalian bersifat selective, hanya mengambil hujah agama mengikut apa yang kena dengan cita rasa kalian sahaja. Tetapi kajilah lagi Islam secara keseluruhan supaya tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan Syara`!

Moga Allah memberi taufiq & hidayah kepada kalian dan kita semua umat Islam di Malaysia. Allahumma Ameen...

Wallah A’lam.

Ustaz Ahmad bin Khairuddin

Ketua Setiausaha Biro Dakwah ISMA

اللهم صل على محمد وآل محمد
(Allahumma salli 'ala Muhammad wa ali Muhammad)
سُبْحَانَ اللّهِ وَ بِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللّهِ الْعَظِيمِ
(SubhanAllahi wa biHamdihi, SubhanAllahil adzim)
سبحانك اللهم وبحمدك أشهد ان لا إله إلا أنت أستغفرك وآتوب إليك
(Subhanakallahumma wabihamdika asyhadu allaailaaha illa anta astaghfiruka wa atuubu ilaika)

Post a Comment

0 Comments